Fenomena Hari Kiamat
Malapetaka yang melanda dunia hari ini memberikan satu isyarat kepada
kita bahawa usia dunia sudah semakin lanjut ibarat seorang tua yang
pernah digambarkan di dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Jika ketika itu usia dunia diumpamakan dengan seorang wanita tua yang
sudah bongkok, bagaimanakah pula wanita tua itu di waktu ini?
Fenomena ketidakstabilan alam yang berlaku saban hari waktu ini
seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Gempa bumi, tanah runtuh, banjir
besar, peperangan, pembunuhan, kemalangan maut dan kesuburan maksiat
semakin menjadi-jadi.
Sebagai contoh banjir kilat yang melanda di tengah-tengah kesibukan
kotaraya Kuala Lumpur. Meskipun kecanggihan teknologi yang digunakan
didakwa boleh membendung kejadian ini dari berlaku namun kuasa Allah
tiada siapa dapat menghalangnya.
Sebagai seorang muslim yang beriman, kacau bilau yang berlaku tidak
seharusnya dibiarkan berlalu tanpa sebarang iktibar dan renungan.
Mengaitkan apa yang berlaku hanya dengan perubahan cuaca global dan
faktor alam semulajadi hanya membutakan iman kita.
Jika diteliti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w pastinya
terdapat panduan yang boleh memberikan penjelasan mengenai suasana yang
berlaku hari ini.
Sabda Rasulullah s.a.w, “Hari kiamat tidak akan berlaku hinggalah
harta benda menjadi melimpah ruah kemudian timbulnya bermacam fitnah
dan banyaknya berlaku al-Harj. Sahabat bertanya baginda: Apakah al-Harj
itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Pembunuhan! Pembunuhan!
Pembunuhan! Sebanyak tiga kali”. (Riwayat Ibnu Majah)
Perkataan al-Harj jika dilihat di dalam konteks hadis ini ia
merangkumi makna yang lebih luas iaitu peperangan, huru-hara dan kacau
bilau yang berlaku. Sebabnya semua suasana ini boleh membawa kepada
hilangnya rasa selamat dan keamanan hidup manusia. Dalam erti kata lain
ia membunuh kesejahteraan hidup manusia.
Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w pernah bersabda, “Barang
siapa yang mahu melihat gambaran hari kiamat seolah-olah ia melihat
dengan matanya sendiri, maka bacalah (surah-surah): (Apabila matahari
digulung) dan (Apabila langit terbelah) dan (Apabila langit
berkecai/terbelah)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tarmizi).
Ketiga-tiga ayat yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w di atas ialah
surah At-Takwir, Al-Infitar dan Al-Insyiqaq. Di dalam surah Al-Takwir
Allah s.w.t menyatakan bahawa pada hari kiamat matahari yang gagah di
langit akan digulung, bintang-bintang akan jatuh berguguran,
gunung-ganang yang nampak gagah hancur berkecai. Allah juga menyatakan
bahawa laut yang luas akan menjadi panas meluap-luap.
Di dalam surah Al-Infitar pula Allah menambah lagi penjelasan tentang
fenomena kiamat dengan menyatakan akan terbelah dan terburainya langit
kemudian bumi akan memuntahkan apa yang dikandungnya.
Begitu juga di dalam surah Al-Insyiqaq, Allah menjelaskan sekali lagi
bahawa langit akan terbelah manakala bumi akan menjadi rata akibat
kehancuran gunung-ganang dan bukit-bukau.
Menariknya di dalam ketiga-tiga surah ini dijelaskan bahawa ketika
berlakunya suasana kacau bilau ini barulah manusia teringat akan apa
yang telah dilakukan dan diabaikan. Di saat itu barulah timbul kesedaran
dan keinsafan. Namun semuanya telah terlambat kerana pintu taubat sudah
tertutup.
Setiap manusia akan berdepan dengan mahkamah Allah yang tiada
langsung peluang untuk menipu dan berbohong. Setiap wajah akan tunduk
memandang bumi, menunggu perbicaraan di Mahkamah Allah. Apakah selamat
atau sebaliknya?
Membaca ketiga-tiga surah bukan sahaja boleh memberikan ilmu tentang
fenomena kiamat malah boleh menimbulkan kegerunan dan ketakutan terhadap
situasi dahsyat yang akan berlaku.
Cuba lihat matahari yang gagah di atas langit yang akan
bergulung-gulung. Bayangkan pula langit yang kukuh akan terburai dan
memuntahkan bintang-bintang hingga gugur ke bumi. Apakah ia tidak
menggerunkan kita?
Perkara yang paling menakutkan apabila Allah bertanya: (Apakah yang memperdayakanmu hingga sanggup derhaka (waktu di dunia) kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia). (Al-Infitar: 6).
Ayat ini seolah-olah satu tempelak terhadap manusia yang
tidak mahu insaf meskipun peluang diberikan seluas-luasnya ketika hidup
di dunia.
Gambaran ketakutan ini dinyatakan oleh Allah dengan menggunakan bahasa kiasan. Firman Allah, Dan apabila unta-unta bunting ditinggalkan. (At-Takwir: 4).
Unta adalah harta paling berharga di tanah Arab pada zaman baginda
s.a.w. Unta merupakan kenderaan kelas pertama yang terdapat ketika itu.
Apa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah, ketika berlakunya kiamat
setiap manusia akan takut dan risau dengan nasib diri sendiri hingga
lupa kepada harta benda dan kemewahan yang dimiliki.
Begitulah sebahagian dari gambaran panjang lebar yang dijelaskan oleh
Allah s.w.t. tentang fenomena hari kiamat di dalam ketiga-tiga surah di
atas. Bagi seorang yang beriman pencarian tentang bila berlakunya hari
kiamat adalah merupakan kerja sia-sia, malah ia boleh membawa kepada
kesesatan akidah.
Justeru apabila Nabi s.a.w ditanya oleh Jibril a.s tentang bila berlakunya kiamat, Baginda menjawab: “Yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya. Kerana baginda s.a.w hanya dimaklumkan tentang tanda-tandanya sahaja”. Tarikh berlakunya kiamat hanya menjadi rahsia Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.
* Zuridan Mohd. Daud ialah Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang